mutakhir

Profesional sumbang idea

Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Program Transformasi Kemahiran Usahawan Bumiputera CIMB (CIMB BEST) anjuran Kumpulan CIMB untuk tahun ini akan dimulakan dengan seminar awam pertamanya bertajuk Tinjauan Industri, Trend dan Peluang Untuk Syarikat Berasaskan Teknologi yang akan diadakan di Menara Bumiputera-Commerce, di sini, pada 28 April ini.

Dilancarkan pada September tahun lalu, program pembangunan berimpak tinggi itu bertujuan melengkapkan usahawan Bumiputera dengan pengetahuan mengenai kewangan, pembangunan perniagaan dan pengurusan, selain membantu mewujudkan akses kepada pasaran serta peluang pembiayaan.

Ketua Perbankan Pengguna Malaysia Kumpulan CIMB Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, program berkenaan dilaksanakan sebagai usaha membuka peluang bagi pembangunan usahawan Bumiputera Malaysia.

“Menerusi seminar pertama tahun ini, topik perbincangan akan meliputi antaranya mengenai perkembangan dunia perniagaan semasa, sesi perkongsian kisah kejayaan usahawan dan peluang perniagaan di dalam dunia digital.

“CIMB BEST berbeza berbanding program keusahawanan lain kerana ia menjadi program pembangunan berkaitan industri terbaik yang menepati skop kurikulum dan keberkesanan dalam memenuhi keperluan usahawan daripada pelbagai peringkat pengalaman.

“Di samping itu, graduan CIMB BEST berpeluang menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Keusahawanan) di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK),” katanya.

Selain itu, usahawan juga boleh mendengar pandangan daripada penceramah yang akan berkongsi pendapat berkaitan trend dan peluang dalam sektor berasaskan teknologi.

Bagi usahawan aktif yang sedang mencari peluang mengembang dan membawa perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi, terdapat Program Usahawan Berpotensi CIMB BEST dan Program Usahawan Peneraju CIMB BEST.

Dua program ini direka dengan kaedah pembelajaran berbeza seperti perbincangan, kajian kes, kerja berkumpulan dan sesi perkongsian bersama profesional.

Landasan ini turut memberi peluang kepada usahawan sedia ada untuk membina rangkaian dalam kalangan rakan mereka dan juga usahawan yang berjaya.

Antara penceramah atau usahawan berjaya yang dijemput pada seminar ini nanti ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) Norita Ja’afar; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif BillPlz, Nazroof Hakim dan ramai lagi.

Bagi graduan tanpa pengalaman, tetapi minat untuk menjadi usahawan pula, mereka boleh menghadiri Program Usahawan Beraspirasi CIMB BEST. Program ini juga direka khas untuk sesiapa saja yang berminat dan usahawan yang mempunyai pengalaman kurang daripada setahun.

Pendaftaran program secara dalam talian adalah terbuka dan percuma berdasarkan siapa cepat dia dapat dan terhad kepada 50 orang setiap trek dengan maksimum 150 peserta pada setiap seminar.

Mereka yang berminat perlu mendaftar menggunakan borang yang boleh dimuat turun di www.cimb.com. Untuk maklumat lanjut mengenai program, ajukan soalan ke contactlnt@cimb.com atau hubungi talian 03-89136047 / 03-89136049.

Disiarkan pada: April 18, 2015 @ 5:00am
d