mutakhir

OKU rentung

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: “Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api merebak cepat,” kata Fauziah Mahmud, 58, ibu kepada wanita lembam yang rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Bechah Hangus, Ketereh di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, mayat Nur Fatini Buniami, 26, ditemui rentung dalam bilik tidurnya selepas terperangkap dalam kebakaran menyebabkan rumah kayu berusia lebih 50 tahun dan sebuah Proton Waja milik Fauziah musnah manakala sebuah rumah milik saudara mangsa turut musnah 50 peratus.

Difahamkan, anak sulung daripada dua beradik itu masuk semula ke dalam rumah selepas berjaya menyelamatakan diri untuk mengambil barang sebelum terperangkap.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II
(HRPZ II) untuk dibedah siasat.

Pesara kerajaan itu berkata, ketika kejadian, Nur Fatini tidur bersendirian dalam bilik tidurnya sebelum dia dikejutkan suaminya memaklumkan berlaku kebakaran di rumah yang baru diduduki dua minggu lalu.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, kami berjaya menyelamatkan diri, namun Nur Fatini yang berada dalam rumah tidak sempat menyelamatkan diri.

“Saya hanya mampu mendengar dia meminta pertolongan, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak cepat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, Nur Fatini sudah keluar dari rumah, tetapi masuk semula untuk mengambil barang.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, kami tidak sempat menahannya sebelum dia terperangkap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.02 pagi sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong dengan sebuah jentera bersama sembilan anggota.

“Setiba di lokasi kejadian, rumah berkenaan sudah 100 peratus terbakar dan kami dimaklumkan seorang wanita terperangkap. Kami berjaya mengawal api pada jam 5.29 pagi daripada terus merebak ke rumah bersebelahan,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2015 @ 5:15am
d