mutakhir

Najib, Rosmah saman Rafizi

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli berhubung kenyataannya mengenai penghapusan subsidi minyak.

Najib yang bertindak di atas kapasiti peribadi beliau dan Rosmah memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 15 April lalu melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Mereka menamakan Rafizi selaku defendan pertama dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong sebagai defendan kedua.

Ia berhubung kenyataan Mohd Rafizi dalam ucapannya di dalam sebuah forum pada 22 November tahun lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, kedua-dua plaintif mendakwa, defendan pertama ada memberi ucapan berhubung isu subsidi minyak yang memfitnah mereka.

Perkataan fitnah itu kemudiannya dimuat naik oleh portal berita Media Rakyat di laman web, youtube, dan Facebook mereka pada hari yang sama dengan tajuk “Rafizi Ramli; Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak”.

Plantif mendakwa perkataan fitnah itu menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi kerana membawa mereka ke skandal awam, kebencian dan penghinaan oleh rakan, kenalan, masyarakat awam dan peringkat antarabangsa.

Selain itu plaintif mendakwa ia memberi kerosakan reputasi yang berterusan disebabkan penerbitan rakaman itu yang boleh diakses secara meluas.

Plaintif juga mendakwa defendan pertama gagal mengambil sebarang langkah untuk menghubungi mereka bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkataan fitnah itu.

Sementara itu defendan kedua pula didakwa gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana tidak mengambil langkah untuk mengesahkan kebenaran perkataan fitnah itu.

Mereka juga mendakwa defendan kedua mengamalkan sifat berat sebelah dalam penerbitan berita dan tidak mengamalkan penyiaran yang seimbang yang harus diamalkan oleh organisasi media.

Oleh itu Najib dan Rosmah menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan, dan ganti rugi teladan.

Plaintif memohon satu perintah injunksi untuk menahan defendan dalam apa cara sekalipun daripada menerbitkan perkataan itu.

Plaintif menuntut kedua-dua defendan menerbitkan permintaan maaf secara bertulis diterbitkan di dalam akhbar dan majalah.

Disiarkan pada: April 18, 2015 @ 5:17am
d