mutakhir

Dua kali rai

Oleh Rizanizam Abdul Hamid dan Siraj Mohd Zaini

Semenyih: “Saya rasa gembira dan bersyukur kerana kami diraikan sebanyak dua kali serta dihadiri oleh ramai penduduk kampung, rasa seperti pengantin baru pula walaupun sudah dua tahun berumah tangga,” kata seorang wanita Orang Asli suku Temuan, Rafitah Halim, 15,

Menurutnya, dia dan suaminya Sal Asar, 20, sudah berkahwin pada tahun 2013 mengikut adat resam Orang Asli, namun kemudian mereka ‘dikahwinkan’ semula mengikut syariat Islam minggu lalu.

Dia yang mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun berkata, kekurangan pengetahuan mengenai agama Islam faktor utama menyebabkannya dia tidak melakukan upacara nikah yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang ingin berumah tangga.

“Tiada perbezaan ketara jika dilakukan mengikut adat Orang Asli, ada juga meminang, menghantar cincin, barang hantaran, tetapi cuma akad nikah saja yang tiada.

“Kebanyakan Orang Asli masih ketinggalan jika ditanya soal agama, mungkin atas sebab itu kami dinikahkan semula mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.

Seramai 25 pasangan berusia di antara 15 hingga 70 tahun itu diraikan dalam satu majlis perkahwinan anjuran kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), portal berita Malaysia Gazette serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih Datuk Johan Abd Aziz di Kampung Sungai Lalang Baru, di sini, semalam.

Mereka berasal dari empat kampung Orang Asli iaitu Kampung Sungai Lalang Baru, Kampung Donglai Baru, Kampung Genting Peras, dan Kachau Dalam.

Disiarkan pada: April 19, 2015 @ 5:19am
d