mutakhir

Nafi dakwaan 5 ADUN PKR lompat parti

Seberang Jaya: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak dakwaan kononnya lima Ahli Dewan Undangan (ADUN) Selangor akan melompat parti dan bekerjasama dengan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Difahamkan, lima ADUN berkenaan akan bekerjasama dengan PAS bagi menggulingkan kepemimpinan Menteri Besar Selangor sedia ada yang diterajui Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, keputusan lima ADUN terbabit dikatakan dilakukan ketika sesi pertemuan Abdul Khalid bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Wan Azizah berkata, pihaknya akan meneliti maklumat itu sebelum memberi sebarang kenyataan lanjut.

“Saya tidak tahu perkara ini (dakwaan lima ADUN PKR akan melompat parti), saya perlu sahkan perkara ini dulu.

“Siapa mereka (lima ADUN berkenaan)? Saya sendiri pun tidak tahu siapa mereka itu ,” katanya ketika ditemui pada Program Tampil di Dewan Pauh Jaya, di sini, semalam.

Disiarkan pada: April 19, 2015 @ 5:25am
d