mutakhir

'Jangan fitnah kami'

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Lembung, Bukit Malut, dekat sini, kelmarin kecewa dengan tindakan segelintir individu yang melemparkan tohmahan di laman media sosial kononnya mereka sengaja merancang kejadian itu dalam usaha mendapatkan kediaman baru.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu Abdullah Mohamad berkata, tuduhan itu tidak bertanggungjawab dan tidak benar selain turut mengguris hati apabila penduduk yang kononnya didakwa membakar rumah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian menjelang solat Jumaat dan kebetulan angin bertiup kencang itu menyebabkan semua mangsa tinggal sehelai sepinggang termasuk kehilangan dokumen peribadi kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Katanya, dia turut melihat sebahagian besar mangsa terpaksa terjun ke laut, malah keadaan menjadi kelam kabut dalam usaha menyelamatkan ahli keluarga masing-masing sebaik menyedari api semakin marak.

“Kalau kebakaran ini dirancang sudah tentu barangan elektrik dan perabot serta dokumen peribadi terselamat, tetapi apa yang berlaku semua mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Justeru, saya mewakili semua mangsa kecewa apabila membaca pelbagai komen dan tuduhan dalam media sosial mengenai kejadian kebakaran besar yang membabitkan 83 rumah.

“Penduduk bukan bodoh dan tuduhan mengatakan kejadian dirancang langsung tak masuk akal. Sila hentikan tuduhan seumpama itu kerana ia amat menyakitkan hati kami dan mangsa yang terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas komen negatif dalam laman sosial Facebook dan Twitter sejurus berlaku kebakaran di penempatan setinggan nelayan itu kira-kira jam 1.20 petang kelmarin.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian semalam, mendapati mangsa terbabit beratur panjang seawal jam 9 pagi untuk membuat laporan berkaitan bencana berkenaan kepada pihak polis di kaunter khas.

Pada masa sama, sekumpulan kanak-kanak yang turut menjadi mangsa pula dilihat berkumpul di satu saluran paip yang pecah untuk mandi dan membasuh pakaian.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi Nurpiza Mohamad berkata, data terkini menunjukkan kebakaran itu membabitkan 83 keluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 348 orang.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 96 mangsa adalah penghuni lelaki dewasa, manakala perempuan dewasa (102), kanak-kanak (73 lelaki dan 65 perempuan) serta bayi (empat lelaki dan lapan perempuan).

“JKM turut membuka kaunter khas di tempat kejadian sejurus menerima laporan untuk bancian dan menyelaras bantuan kebajikan, selain memastikan kebajikan mangsa dibela.

“Untuk penginapan, pada peringkat awal mangsa lelaki tidur dalam masjid, manakala wanita di balai raya berdekatan sebelum usaha mendirikan khemah sebagai penempatan sementara yang sedang diusahakan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2015 @ 5:27am
d