mutakhir

Nyaris rentung kereta terbakar

Permaisuri: Seorang warga emas nyaris rentung apabila kenderaan dinaikinya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 52.9, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.20 pagi ketika mangsa berusia 66 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki berusia 31 tahun bersama empat penumpang lain yang menaiki kereta Mercedes-Benz dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu lelaki terbabit melanggar sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan yang cuba membelok ke kanan jalan.

“Jarak yang dekat menyebabkan pemandu kereta Mercedes-Benz tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta dipandu warga emas itu.

“Kejadian itu menyebabkan kereta Proton Saga dipandu warga emas itu terbakar. Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana berjaya keluar daripada keretanya.

“Mangsa patah tulang bahu kanan manakala pemandu dan penumpang kereta Mercedes-Benz hanya cedera ringan,” katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2015 @ 5:37am
d