mutakhir

Dua pegawai imigresen diugut

Melaka: Dua pegawai kanan Jabatan Imigresen Melaka menerima ugutan jenayah daripada lelaki dipercayai tidak berpuas hati dengan serbuan dilakukan jabatan itu di sebuah premis hiburan di sekitar Taman Melaka Raya, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua pegawai penguat kuasa imigresen itu menerima ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak berpuas hati dengan penahanan seorang wanita dipercayai mempunyai hubungan dengan individu terbabit.

Sumber berkata, selepas serbuan itu, kedua-dua pegawai terbabit tidak mengaktifkan telefon bimbit mereka sebaliknya berbuat demikian jam 2 petang kelmarin.

Katanya, pegawai itu terkejut apabila menerima SMS daripada nombor tidak dikenali tertulis kata-kata kesat dan ugutan.

“SMS itu tertera kata-kata kesat mendakwa anak seorang kakitangan jabatan terbabit sudah mati dan mangsa perlu menunggu giliran anaknya serta anak seorang lagi pegawai menerima nasib sama.

“SMS itu dihantar jam 1.13 petang. Bimbang keselamatan diri dan keluarga terancam, kedua-dua pegawai terbabit membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh petang semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, ugutan itu dipercayai ada kaitan dengan kematian anak anggota penguat kuasa jabatan itu yang terbabit dalam kemalangan awal pagi kelmarin, sehingga mengorbankan nyawanya.

Dalam serbuan premis hiburan di Taman Melaka Raya Khamis lalu, imigresen menahan 14 wanita warga Vietnam yang tidak mematuhi peraturan mengikut Akta Imigresen.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan terbabit.

Disiarkan pada: April 19, 2015 @ 5:40am
d