mutakhir

Pemburu maut disondol babi hutan

Tapah: Seorang pekebun Orang Asli maut disondol babi hutan ketika memburu di hutan di belakang rumahnya di Kampung Batu 9, Jalan Pahang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa, Ali Pak Kateh, 36, berseorangan di dalam hutan dipercayai memburu sebelum diserang seekor babi hutan menyebabkan mangsa parah sebelum maut di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Nalawati Bah Buyong, 32, berkata, dia yang membasuh pakaian di sungai terkejut apabila bapa saudaranya memberitahu suaminya diserang babi hutan dan tidak sedarkan diri di belakang rumahnya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, orang ramai mengerumuni suami saya dan memberitahu dia sudah meninggal dunia. Ibu mentua melarang saya dan dua anak melihat keadaan suami kerana keadaannya sangat menyedihkan.

“Saya selalu risaukan dia kerana sebelum ini sudah beberapa kali diserang binatang buas itu, namun sempat melarikan diri. Kali ini mungkin sudah sampai ajalnya, namun saya sedih dengan cara pemergiannya,” katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tapah, di sini.

Menurutnya, dia yang bekerja di kedai bunga di Cameron Highlands baru saja pulang ke rumah kelmarin untuk bersama suami selepas seminggu tidak berjumpa, namun kegembiraan itu bertukar berita duka.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa maut selepas parah termasuk koyak di paha akibat disondol seekor babi hutan.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:12am
d