mutakhir

RM2j tampung kos haemodialisis

Kota Bharu: Sejumlah RM2 juta dibelanjakan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) setahun bagi menampung kos rawatan haemodialisis untuk pesakit buah pinggang di negeri ini.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, ketika ini terdapat 60 pesakit buah pinggang kronik menjalani rawatan rutin di hospital itu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 40 pesakit memerlukan rawatan secara konsisten dan tergolong sebagai miskin.

“Pesakit yang menjadi ketua keluarga, tidak mampu bekerja dan memerlukan sumbangan pelbagai pihak prihatin.

“Mereka ini yang kesihatannya tidak begitu baik perlukan rawatan berkala setiap minggu, maka kita bantu menerusi tabung bantuan yang ada.

“Kerjasama dengan pihak lain membantu mengisi dana tabung dihargai,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Dana Rakyat Holdings Sdn Bhd sebanyak RM100,000 kepada Tabung Kasih Buah Pinggang Kronik Orang Kota Bharu (OKB)-HUSM, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Rakyat Holdings Sdn Bhd Datuk Mat Noor Nawi dan Presiden OKB Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan kos ditanggung HUSM untuk rawatan haemodialisis seorang pesakit tidak termasuk kos lain seperti perjalanan pergi balik ke hospital.

Pesakit buah pinggang kronik, Mohd Nor Damin, 52, berkata, dia sudah menderita penyakit itu sejak lapan tahun lalu.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:20am
d