mutakhir

Jasmani, rohani perlu seimbang

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Aspek jasmani dan kerohanian perlu diseimbangkan dalam pembangunan belia di negara ini bagi mengelak golongan itu terdedah kepada perkara negatif yang boleh merosakkan jiwa mereka.

Menurut Timbalan Pengarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, negara boleh kerugian sekiranya bakal modal insan terdedah dengan pelbagai anasir negatif dan budaya songsang.

“Kita percaya jiwa remaja dan belia memang suka dengan muzik. Islam tidak melarang perkara itu tetapi ia haruslah berlandaskan garis panduan yang ditetapkan jangan sampai merosakkan akidah.

“Pendapat saya, pihak berkaitan misalnya Kementerian Belia dan Sukan perlu mencari alternatif dan lebih proaktif melaksanakan satu cara seperti aktiviti bermanfaat untuk pembangunan belia.

“Ini bermakna kita jangan terlalu tekankan aspek jasmani semata-mata, tetapi kerohanian juga penting dititik beratkan dalam diri mereka kerana negara akan rugi sekiranya modal insan dicemari dengan ajaran tidak betul,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas pendedahan Harian Metro pada Sabtu lalu berkaitan kegiatan sekumpulan anak muda disyaki melakukan ritual pemujaan diketuai individu dikenali sebagai Bubuk.

Kumpulan anak muda lelaki dan wanita itu dikatakan berkumpul di bangunan terbiar di Lumut, Perak setiap kali waktu bulan mengambang dan ritual pemujaan dilakukan dengan iringan muzik ‘heavy metal’.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sahabat Iman dan Insan Malaysia (SIDIM) Hanafi Malek berkata, mereka yang terbabit dengan gejala berkenaan perlu dibantu dengan kaedah pemulihan bagi mengembalikan akidah mereka.

“Pencegahan awal boleh dilakukan dengan menyediakan altenatif muzik dan hiburan dibenarkan Islam selain pemantauan keluarga dan pihak berkuasa.

“Berdasarkan pengalaman kami membantu 40 remaja yang terbabit gejala seumpama ini, biasanya mereka yang terjebak kurang amalan agama dan kasih sayang keluarga, memberontak dengan diri dan masyarakat serta bosan dengan aliran muzik biasa.

“Namun, mereka boleh diubati dengan kaedah pemulihan seperti kuarantin, kaunseling, pujukan untuk melakukan amal agama serta pengasingan dari kawan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:25am
d