mutakhir

Bukan akibat HFMD

Johor Bahru: Kematian murid tahun satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chien Chi, Plentong, di sini, pada 10 April lalu disahkan bukan disebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, laporan perubatan mengesahkan terdapat jangkitan Enterovirus 71 (EV71) yang menjadi punca penyakit HFMD, namun bilangan peratusan virus itu pada mangsa adalah kecil dan tidak menyebabkan kematian.

Beliau berkata, kematian mungkin berpunca daripada perkara lain termasuk kompilasi akibat jangkitan dan pengambilan ubat oleh mangsa, namun perkara berkenaan masih dalam siasatan.

“Terdapat kehadiran EV71 dalam tubuh mangsa dan perkara itu disahkan menerusi ujian sampel darah yang dikeluarkan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.

“Hasil sampel mendapati ia positif EV71, namun bukan pada peratusan yang kuat dan berbahaya, ada faktor lain yang menyebabkan kematian itu.

“Sampel darah kakak mangsa yang turut dihantar menunjukkan keputusan negatif. Cuma mangsa saja yang positif,” katanya selepas menghadiri Program Johor Bersih dan Lestari, di Taman Pelangi Indah, di sini, semalam.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:26am
d