mutakhir

Jejak Datuk RM1 bilion

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu tiga rakyat Malaysia termasuk seorang bergelar ‘Datuk Daniel’ yang didakwa menipu kira-kira 100,000 orang di seluruh dunia melalui skim cepat kaya.

Suspek turut dipercayai menjadi dalang penipuan skim piramid membabitkan 14,700 orang mangsa dari Thailand, Malaysia dan Indonesia dengan kerugian dianggarkan 10 bilion baht (RM1 bilion).

Memetik laporan BangkokPost.com, suspek yang diburu ialah pemegang saham dan pengarah syarikat UFun Co Ltd, Tae Kim Leng, 40; pengarah Lee Kuan Ming, 38; pemegang saham dan pengarah Wong Ching Hua, 42; dan pemegang saham dan pengarah syarikat warga Thailand, Arthit Pankaew, 47.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) II Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya memang tahu mengenai sindiket penipuan UFUN Store Co Ltd dan sudah menerima banyak laporan dalam kalangan rakyat tempatan berhubung skim berkenaan.

“Difahamkan polis Thailand sedang menjalankan siasatan berhubung tiga individu itu. Mereka belum meminta bantuan daripada PDRM setakat ini.

“Bagaimanapun, sekiranya ketiga-tiga suspek berjaya dikesan di Malaysia, tindakan akan diambil berdasarkan kes mereka yang sudah dilaporkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro semalam.

Akhbar The Nation Thailand melaporkan waran tangkap sudah dikeluarkan ke atas ketiga - tiga individu berkenaan susulan serbuan polis di ibu pejabat syarikat itu di daerah Bang Na di Bangkok baru-baru ini.

Empat eksekutif syarikat itu yang berumur 34 hingga 40 tahun ditahan baru-baru ini atas tuduhan penyelewengan.

Penolong Ketua Polis Thailand, Leftenan Jeneral Suwira Songmetta dipetik berkata, pihak berkuasa negara berkenaan sudah merampas beberapa komputer dan dokumen yang boleh digunakan untuk mengaitkan eksekutif itu dengan aktiviti penipuan.

Selain itu, sebuah kereta mewah model BMW i8, beg tangan berjenama dan jam tangan mewah juga dirampas.

Susulan itu, akauntan syarikat berkenaan turut ditahan ketika dia hendak berlepas ke Laos dan wanita terbabit mendakwa cuba meletak jawatan selepas mendapati wujud unsur penipuan dalam pengurusan syarikat.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:30am
d