mutakhir

Malang berteduh

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Seorang remaja 17 tahun tidak menyangka kehadiran dua lelaki ketika menumpang teduh di kedai mencuci kereta berikutan hujan lebat bertukar menjadi pengalaman ngeri baginya apabila dia dikelar dalam kejadian samun, awal pagi Jumaat lalu.

Kejadian berlaku jam 2 pagi di premis berhampiran stesen minyak di Kampung Raja, Jalan Kuala Ketil, di sini, ketika mangsa, Mohamad Ammar Aizat Mahadhir berteduh di kedai itu dalam dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Keladi.

Bagaimanapun, ketika mangsa mahu beredar sebaik hujan reda, tiba-tiba muncul dua lelaki 20-an menunggang motosikal dengan seorang daripadanya menghampiri mangsa sambil berpura-pura bertanyakan sesuatu.

Mohamad Ammar berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa dengan kehadiran dua lelaki terbabit walaupun tidak berasa sedap hati melihat gelagat mereka.

“Lelaki terbabit menghampirinya lalu meletak pisau kecil pada lehernya. Walaupun berasa begitu takut ketika itu, saya berusaha menolak tangan lelaki itu daripada menekan pisau di leher sebelum berasa seperti kulit lehernya terhiris.

“Saya mendapati baju yang dipakai basah akibat darah dan lelaki itu yang menyedari saya cedera merampas motosikal SYM milik bapa saya lalu terus melarikan diri bersama rakannya.

“Saya berlari ke jalan bagi meminta bantuan sambil menahan kesakitan dan terkejut melihat darah begitu banyak. Rakan yang kebetulan melalui jalan itu membawa saya ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Halim (HSAH), di sini, bagi menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Pelajar Kolej Vokasional Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang yang menerima 10 jahitan di leher berkata, sebelum kejadian dia menghadiri perjumpaan kelab motosikal Kappila Racing di sebuah restoran di Pekan Baru Sungai Petani, di sini, sebelum pulang ke rumah.

Ibu mangsa, Hamidah Mostafa, 55, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada hospital jam 3 pagi memaklumkan anak bongsu daripada tiga beradik itu dirawat di Jabatan Kecemasan HSAH akibat kecederaan di leher.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Ariffin mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengesan dua lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:33am
d