mutakhir

KL bergegar

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Hujan lebat dan ribut petir berlaku sejak petang kelmarin, menyebabkan lima kejadian pokok tumbang serta menghempap kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Dalam insiden itu, enam kereta, lori dan bengkel tayar mengalami kerosakan akibat dihempap pokok di Jalan Sungai Buloh dan Bandar Sri Damansara di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima banyak panggilan kecemasan insiden pokok tumbang sejak kelmarin.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada jam 12.05 tengah malam kelmarin apabila empat pokok menghempap enam kereta di Jalan Dagang 2/1D, Sri Damansara di sini.

“Kurang sejam kemudian, sebuah bengkel menukar tayar pula rosak selepas dihempap pokok di Persiaran Dagang SD/1, di sini.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian ketiga dilaporkan berlaku di Jalan Sungai Buloh menghala Kepong, apabila pokok tumbang dan menghempap lori satu tan.

“Dalam kejadian jam 9.03 pagi semalam, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian dan menjalankan kerja memotong dan membersihkan dahan pokok itu.

“Anggota bomba mengambil masa satu jam untuk mencantas, memotong dan membersihkan kawasan kejadian,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian jam 5.58 petang semalam, pokok tumbang sebelum menghempap empat kereta di Taman Prima, Gombak.

Bagaimanapun tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian itu.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:40am
d