mutakhir

8 suspek kes bunuh pengawal ditahan

Shah Alam: Polis Selangor menahan lapan suspek disyaki terbabit dalam kejadian bunuh dan bakar seorang pengawal keselamatan di pondok pengawal di Bandar Bukit Raja, Klang di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan semua suspek berusia antara 26 dan 59 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Bukit Raja dan Meru di sini, antara jam 11.30 malam hingga jam 4 pagi semalam.

Sumber polis berkata, suspek dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan di kawasan awam dan di sebuah rumah di sekitar Klang.

“Kami mengenal pasti identiti penjenayah terbabit berdasarkan rekod jenayah lampau. Tiga pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, tiga dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan masing-masing satu dari IPD Klang Selatan dan Shah Alam dikerahkan mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, semua suspek dipercayai ahli kumpulan gangster dan pernah terbabit dengan jenayah mencederakan orang awam dan merusuh.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohammad Shukor Sulong berkata, pihaknya kini melakukan siasatan pekerjaan sebenar suspek.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:43am
d