mutakhir

Tidur ditimpa pokok

Oleh Mohd Sah Muda

Mersing: Keputusan empat kaki pancing bermalam di Hutan Taman Bahtera, Jemaluang dekat Mersing, di sini, semalam, mengundang padah apabila dua daripada mereka maut dihempap pokok tumbang.

Kejadian jam 4.30 pagi itu menyebabkan Rizal Ismail, 33, dan Hanafi Abd Rahman, 42, meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan manakala dua lagi rakan mereka, Thamrin Mohd Yusof, 48, dan Zainal Man, 49, terselamat.

Zainal berkata, mereka ke hutan berkenaan jam 4.30 petang kelmarin dengan menaiki dua motosikal untuk memancing di sungai.

Katanya, mereka yang berasal dari Kampung Lubuk Pengkalan Batu, dekat sini, sering memancing di kawasan itu dan mengambil keputusan membuat khemah untuk bermalam.

“Ketika nyenyak tidur, saya terdengar bunyi kuat dan mendapati Rizal dan Hanafi dihempap pokok tumbang.

“Oleh kerana keadaan mereka parah, kami menghubungi keluarga mendapatkan bantuan sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Jemaluang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Mersing, di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan M Kumar berkata, mangsa parah di kepala dan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Jemaluang.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan akibat pendarahan yang banyak sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

“Beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing dihantar ke lokasi terletak empat kilometer dari jalan masuk ke Taman Bahtera Jemalung itu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan dijalankan termasuk mendapatkan keterangan dua rakan mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2015 @ 6:43am
d