mutakhir

Empat 'pelanggan' samun tiga beradik

Alor Gajah: Empat penjenayah menggunakan taktik menyamar sebagai penjual getah sekerap sebelum bertindak menyamun tiga beradik di Jalan Garing, Machap Baru, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Tai Ka Vee, 23, Tai Kai Yo, 20, dan Tai Ze Eee, 16, sedang mengemas kedai yang baru dibuka.

Ketika mengemas kedai, sebuah Proton Persona dinaiki empat lelaki dari arah Selandar ke Durian Tunggal memasuki pekarangan premis mereka.

Sumber berkata, seorang lelaki menemui tiga beradik itu dengan menyatakan hasrat menjual getah sekerap sambil bertanyakan harga pasaran.

“Penjenayah terbabit mendakwa membawa baldi berisi getah sekerap untuk dijual sebelum kembali ke kereta.

“Selepas itu, tiga lagi penjenayah berusia awal 20-an keluar daripada kenderaan membawa parang sebelum menerpa ke arah mangsa,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, penjenayah mengacukan parang pada leher mangsa sambil meminta barang berharga dan wang tunai.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusof mengesahkan kejadian itu.

Disiarkan pada: April 21, 2015 @ 7:44am
d