mutakhir

Landasan naik pangkat

Kuala Lumpur: Persepsi bahawa kenaikan pangkat seseorang penjawat awam kerana mereka mempunyai hubungan baik dengan ‘bos’ perlu dikikis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, kenaikan pangkat penjawat awam adalah berdasarkan tiga faktor iaitu prestasi, perakuan ketua jabatan dan kekosongan, dengan perakuan ketua jabatan sering dipertikai.

“Kita kena ingat bahawa kita kena ada sesuatu yang harus kita pegang sebagai landasan untuk tujuan kenaikan pangkat,” katanya pada persidangan Dewan Negara, semalam.

Shahidan menjawab soalan tambahan Senator Mohd Khalid Ahmad yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang melaksanakan penstrukturan perjawatan baru dan kenaikan pangkat penjawat awam setiap lima tahun sekali untuk meningkatkan profesion mereka.

Beliau berkata, kenaikan pangkat penjawat awam dilakukan secara telus bagi memastikan semua pihak berpuas hati.

Menjawab soalan tambahan senator yang sama berhubung sama ada kerajaan membuka peluang kepada penjawat awam kumpulan sokongan yang mempunyai ijazah sarjana muda untuk kenaikan pangkat, Shahidan berkata, mereka perlu membuat permohonan untuk mengikuti skim baharu setelah jawatan itu dibuka.

“Mereka akan bersaing sama seperti orang lain. Cuma kelebihan yang besar, mereka sudah bekerja dalam perkhidmatan berkenaan, jadi orang kata markah lebih untuk dapat pekerjaan.

“Ini kerana kita tidak boleh buat secara automatik. Kalau secara automatik habis semua orang dapat ijazah dan mereka minta naik pangkat secara automatik, ia sesuatu yang cukup berat pada kerajaan,” katanya.
– BERNAMA

Disiarkan pada: April 21, 2015 @ 10:46am
d