mutakhir

Pelaburan unit amanah terus meningkat

Sibu: Pelaburan dalam unit amanah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam tempoh 15 tahun, selari dengan perkembangan ekonomi negara sejak 2000 hingga 2015.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga Februari lalu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengurus 12.31 juta akaun pelabur dengan jumlah 202.23 bilion unit amanah, berbanding 15 tahun lalu dengan 7.8 juta pelabur dan 36 bilion unit amanah.

Beliau berkata, unit edaran yang melepasi paras 200 bilion unit amanah adalah satu jumlah yang besar bagi institusi pelaburan yang menggembleng modal rakyat secara sukarela.

“Pencapaian ini membantu menyemarakkan lagi industri unit amanah, pengurusan dana dan pasaran saham.

“Lebih membanggakan apabila PNB mampu mengekalkan bahagian pasaran dengan menguasai 70.2 peratus dari keseluruhan pasaran, sementara dari segi nilai aset bersih pula adalah pada tahap 63.6 peratus pada hujung tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 di Dataran Sibu di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Muhyiddin berkata, ekonomi negara berkembang sebanyak enam peratus setahun tahun lalu dengan purata lebih lima peratus sepanjang 15 tahun lalu.

“Kalau ekonomi negara tidak berkembang, tidak mungkin bilangan pelabur PNB boleh meningkat dan rakyat boleh mempunyai lebihan pendapatan untuk melabur dalam unit amanah PNB.

“Kalau ekonomi negara tidak maju, maka tidak mungkin juga syarikat-syarikat pelabur PNB boleh menjana keuntungan dan menyumbang kepada pengagihan dividen kepada pelabur,” katanya.

Katanya, tahun lalu, PNB berjaya mengagihkan dividen dan bonus berjumlah RM13.98 bilion, sekali gus menjadikan keseluruhan dividen yang diagihkan sepanjang 15 tahun (2000 hingga 2014), sebanyak RM99.98 bilion.

“Jumlah itu lebih banyak berbanding RM29.38 bilion sepanjang 1981 hingga 1999,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2015 @ 10:54am
d