mutakhir

Enam pegawai veterinar ditahan SPRM

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam pegawai veterinar di Johor selepas disyaki ada kaitan dengan penyelewengan membekal lembu dan kerbau kepada penternak.

Mereka dipercayai menerima suapan daripada pembekal selain bersubahat memalsukan dokumen tuntutan bekalan dan pembayaran program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (PINTAF).

Pihak SPRM dalam kenyataannya berkata, empat individu yang ditahan semalam itu membabitkan Pegawai Veterinar Negeri berpangkat Penolong Pegawai Veterinar Gred G36 manakala dua lagi individu masing-masing ditahan kelmarin dan 1 April lalu.

“Semua yang ditahan berusia antara 30-an dan 50-an membabitkan pegawai dan kakitangan Pejabat Veterinar Johor Bahru, Kluang, Segamat dan Kulaijaya, Johor.

“Mereka dipanggil SPRM Johor dan dibebaskan selepas diambil keterangan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Menurutnya, operasi Ops Tanduk yang dijalankan SPRM itu dilakukan susulan aduan orang awam berhubung penyelewengan membekal lembu dan kerbau kepada penternak program PINTAF.

Program PINTAF yang memperuntukkan RM3 juta adalah program Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menyalurkan bantuan aktiviti pembangunan ternakan selain merupakan satu pinjaman tanpa faedah.‎

Difahamkan, bagi ternakan ruminan lembu dan kerbau, Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan lebih RM1 juta untuk pembelian lebih 400 ekor lembu dan kerbau ternakan untuk diedarkan kepada penternak melalui Pejabat Veterinar tetapi tidak sampai kepada penternak sepenuhnya.

Susulan daripada tangkapan itu, SPRM dijangka akan membuat lebih banyak tangkapan dalam waktu terdekat bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lebih 150 penternak di Johor Bahru yang sepatutnya mendapat bantuan dari program berkenaan tidak menerima bantuan.

Disiarkan pada: April 21, 2015 @ 11:56am
d