mutakhir

AC hiba lihat Farisha

Oleh Syanty Octavia Amry

Kuala Lumpur: Pengacara terkenal Datuk AC Mizal terharu apabila berpeluang bertemu Nur Farisha Muhd Firdaus, setahun enam bulan yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, akibat penyakit barah mata tahap empat.

AC yang ditemani isterinya yang juga pelakon, Datin Emylia Rosnaida hadir ke hospital berkenaan semalam, selepas mendapat tahu Nur Farisha meminati dirinya.

Beliau yang pertama kali bertemu peminat seperti itu mengakui ia memberi semangat untuk terus maju sebagai penghibur tanpa mempedulikan kata-kata nista segelintir peminat yang membenci dirinya.

“Selama 23 tahun bergelar anak seni, pertama kali saya bertemu peminat yang sungguh istimewa. Walaupun pernah bertemu peminat cilik tetapi Nur Farisha sangat istimewa.

“Melihat keadaannya membuatkan saya rasa sangat bersyukur apa yang saya lalui selama ini dengan ditindas, dihina dan dicerca sebagai anak seni, membuatkan saya rasa ada insan lain yang lebih bersedih atas apa yang dia lalui.

“Apatah lagi insan itu menyanjung saya dan begitu meminati diri ini membuatkan saya berasa begitu terharu,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada pertemuan singkat itu, AC kelihatan sedih dan hiba atas penyakit yang menimpa kanak-kanak berkenaan. Malah ketika dia hadir, Nur Farisha baru saja tidur selepas diberi suntikan menyebabkan dia tidak menyedari kehadiran AC dan Emylia Rosnaida.

Harian Metro pada 8 April lalu melaporkan penderitaan Nur Farisha yang menderita penyakit itu sejak berusia tiga bulan. Bayi malang itu menetap bersama ibunya, Intan Safina Mohd Rethuan, 27, serta datuk dan neneknya di Sungai Petani, Kedah manakala bapanya Muhd Firdaus Abdul Kadir, 29, bekerja sebagai anggota tentera di Johor Bahru.

Dia dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sebelum dirujuk kePusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Dalam pada itu, AC berkata, dia mendapat tahu Nur Farisha meminatinya apabila bertemu dengan Ketua Puteri UMNO Kedah Datin Norhashimah Md Nowar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Singapura.

“Ketika bertemu beliau sempat menunjukkan gambar keadaan Nur Farisha dan memberitahu si kecil itu sangat meminati saya. Kebetulan saya sangat sibuk dan merasakan seperti tiada peluang untuk bertemunya kerana dia tinggal di Sungai Petani.

“Sudah rezeki Nur Farisha untuk bertemu saya apabila saya mendapat tahu dia dipindahkan ke PPUM dan saya mencari peluang untuk melawatnya hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, bapa Nur Farisha, Muhd Firdaus berkata, anaknya mula menujukkan minat terhadap AC selepas menonton program Maharaja Lawak Mega (MLM) tahun lalu.

“Rasa terharu dan terkejut kerana AC sudi melawat anak kami. Kami memang tidak tahu langsung akan kehadirannya dan terima kasih banyak-banyak kerana sudi bertemu dengannya,” katanya.

Menurut Muhd Firdaus, setiap kali Nur Farisha menonton MLM dia tidak mahu berganjak dari TV.

“Sambil makan dia kusyuk melihat gelagat AC yang sering melaungkan ayat ‘Peace Yo’. Apabila kami cuba alihkan perhatiannya dengan menukar saluran lain dia akan mengamuk dan menangis,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2015 @ 11:58am
d