mutakhir

Tak serik jual dakwat tiruan

Petaling Jaya: Pernah diserbu dan diambil tindakan setahun lalu. Namun, sebuah syarikat terus berdegil apabila masih menjual katrij pencetak pelbagai jenama berisi dakwat tiruan secara besar-besaran.

Syarikat terletak di Taman Sri Manja, di sini, dikesan tidak serik selepas turut dipercayai mengimport katrij pencetak palsu itu keluar negara.

Penipuan itu dibongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan serbuan di dua premis syarikat itu jam 10 pagi, semalam, dan merampas produk tiruan itu bernilai RM740,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, hasil pemeriksaan terhadap dua premis itu menemui 1,500 katrij pencetak yang belum sempat dipasarkan.

Menurutnya, dua premis itu dijadikan ‘markas’ penghasilan produk tiruan itu dan sengaja dibina berhampiran satu sama lain bagi memudahkan proses pengilangan serta pembungkusan.

“Ketika serbuan di premis pertama, kami dapati pekerja syarikat sibuk membungkus katrij pencetak tiruan itu.

“Serbuan di premis kedua menemui mesin dipercayai digunakan untuk menghasilkan produk tiruan pelbagai jenama,” katanya.

Abdul Rosik berkata, katrij itu dijual dengan harga minimum RM50 sehingga RM180 seunit manakala bagi seunit katrij kosong tanpa dakwat dijual murah serendah RM5 hingga RM12 untuk pasaran tempatan.

“Kami ingin mengingatkan pengguna supaya memeriksa terlebih dahulu katrij dibeli bagi memastikan produk itu asli.

“Pengguna yang meragui ketulenan produk boleh melaporkannya kepada pihak KPDNKK untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Abdul Rosik, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2012 kerana mengedar barangan tiruan. Jika sabit kesalahan, setiap unit katrij yang dirampas dikenakan denda RM500,000 maksimum atau tiga tahun penjara.

Disiarkan pada: April 21, 2015 @ 12:02pm
d