mutakhir

Lori terbenam hampir timpa rumah

Parit Buntar: Seorang pemilik rumah cemas apabila lori membawa muatan batu secara tiba-tiba terbenam sebahagian sebelah kiri dan hampir menimpa kediamannya di Tali Air Parit 30, Batu 14, Kuala Kurau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, pemilik rumah yang mahu dikenali sebagai Salleh, 45, berkata, sebaik mendapati tayar lori kenderaan berat terbabit pancit, pemandu segera mengundurkan lori di depan halaman rumahnya.

Menurutnya, pemandu kenderaan itu bertindak demikian bagi memberi laluan kepada lebih tiga lori lain di belakangnya untuk menghantar batu ke projek menambak ban di Pantai Ban Pecah, di sini.

“Saya memerhati lori terbabit dari dalam rumah dan terkejut apabila melihat kenderaan itu mula condong dan hampir terbalik.

“Saya segera berlari keluar dari rumah kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Saya bersyukur apabila lori yang sarat muatan batu itu tidak terbalik. Jika tidak sudah tentu rumah saya ranap ditimpa lori dan muatan batu itu,” katanya.

Salleh berkata, sebelum ini, terdapat telaga lama ditimbus tanah dan batu lalu dijadikan halaman rumah.

“Disebabkan halaman itu lebih 10 tahun ditambak batu dan tanah, saya langsung tidak menjangka perkara ini berlaku,” katanya.

Menurutnya, selepas sejam lori berkenaan terbenam akhirnya dengan bantuan jengkaut, lori terbabit akhirnya dinaikkan.

Disiarkan pada: April 21, 2015 @ 12:05pm
d