mutakhir

Permintaan tinggi tayar celup

Seremban: Permintaan terhadap tayar celup di pasaran dunia dijangka terus meningkat menjelang 2020 dengan Malaysia menyasarkan menyumbang tiga peratus daripada pengeluaran produk berkenaan.

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, pasaran dunia bagi tayar celup dan bahan berkaitan pada 2013 bernilai RM3.05 bilion dengan Malaysia terbabit pengeluaran sebanyak dua peratus.

Katanya, ekoran permintaan tinggi terhadap barangan itu, penggunaan terhadap tayar celup dijangka meningkat sebanyak 8.6 peratus dengan nilai RM6.8 bilion di seluruh dunia.

“Sehubungan itu, pada 2020 negara menyasarkan dapat meningkatkan pengeluaran tayar celup sebanyak tiga peratus dengan nilai RM204 juta bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pensijilan Produk dan Pelancaran Kilang Sun Rubber Industry Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Sunrich Integrated Industries Sdn Bhd Low Kian Beng dan Pengarah LGM Datuk Dr Salmiah Ahmad.

Mengulas industri tayar celup dalam negara, Ahmad berkata, setiap tahun sebanyak 18,000 tan getah bernilai RM162 juta digunakan untuk menghasilkannya.

“Selepas ini pihak kami (LGM) menjangkakan bukan hanya permintaan terhadap tayar celup meningkat sebaliknya perkembangan sektor pengeluaran getah,” katanya.

Ahmad berkata, Kilang Sun Rubber Industry yang menerima pensijilan produk dan beroperasi di Senawang, di sini diharap dapat membantu mencapai sasaran pengeluaran tiga peratus itu.

Katanya, penghasilan tayar berkenaan yang bersifat mesra alam dilakukan sejurus pihaknya menandatangani perjanjian persefahaman dengan kilang terbabit pada 6 Mei tahun lalu.

“Sejurus penyelidikan dibuat dan keyakinan dapat meningkatkan pengeluaran, kilang berkenaan dilantik untuk membantu mencapai sasaran negara,” katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2015 @ 9:41am
d