mutakhir

'Polis' kalut terbalik

Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau nekad mengacukan pistol tiruan ke arah seorang penunggang motosikal sebelum merampas kenderaan mangsa untuk melarikan diri dalam sekatan jalan di Jalan Langgar berhampiran Sungai Sangkap di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, suspek berusia 44 tahun bagaimanapun ditahan selepas motosikal dinaikinya terbalik ketika melalui persimpangan lampu isyarat Simpang Kedundung, Pokok Sena selepas dikejar anggota polis sejauh dua kilometer.

Sumber berkata, kejadian berlaku apabila suspek dari Kuala Nerang yang menunggang bersendirian itu dipercayai panik lalu memberhentikan motosikalnya dan cuba berpatah balik sebaik menyedari sekatan jalan Ops Roda sebelum disedari anggota polis bertugas.

Menurutnya, suspek kemudian nekad meninggalkan motosikalnya dan berlari ke tengah jalan sambil mengeluarkan sepucuk pistol tiruan sebelum mengacukannya kepada pengguna jalan raya lain.

“Suspek kemudian menahan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki dan mengacukan pistol menyebabkan mangsa yang terkejut terus menyerahkan motosikal miliknya.

“Berikutan itu, suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal berkenaan, namun akhirnya berjaya ditahan berikutan terjatuh di persimpangan lampu isyarat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki suspek dilaporkan hilang di Kuala Kedah, pertengahan tahun lalu.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku menyamar anggota polis bagi melakukan kegiatan memeras ugut penduduk sekitar Pokok Sena sejak 2008 lalu selepas dibebaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes rogol, curi motosikal, ragut dan ujian air kencingnyapositif dadah jenis syabu.

Disiarkan pada: April 22, 2015 @ 9:52am
d