mutakhir

Pukul anak marah suami

Ipoh: Tindakan seorang ibu muda berusia 17 tahun yang tergamak memukul bayi perempuannya hingga video perlakuannya itu menjadi viral di laman sosial sejak beberapa hari lalu dipercayai akibat mempunyai masalah dengan suaminya.

Siasatan awal polis berhubung kes itu mendapati masalah perselisihan faham dengan suami dipercayai punca suspek memukul anaknya dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, remaja itu yang juga ibu kandung bayi berkenaan dipercayai mengalami tekanan perasaan dan dalam proses perceraian dengan suaminya yang berusia 18 tahun.

Menurutnya, pasangan itu yang masih dalam tanggungan ibu bapa masing-masing dipercayai mengalami masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian selain tidak lagi tinggal bersama.

“Bayi perempuan berusia lima bulan itu anak tunggal pasangan muda berkenaan.

“Setakat ini, tiada kecederaan serius terhadap bayi berkenaan, namun kita masih menunggu laporan perubatan mangsa dan pada masa ini, bayi itu diserahkan kepada ibu remaja itu untuk dijaga tetapi melalui pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya selepas menghadiri Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis ke-208 peringkat Kontinjen Perak di Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.

Program yang mendapat kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) itu disertai 100 pegawai, anggota dan kakitangan awam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak yang menderma darah sebagai sumbangan kepada masyarakat bertepatan.

Disiarkan pada: April 22, 2015 @ 10:25am
d