mutakhir

Nyaris rentung angkara rokok

Jempol: Seorang pemuda nyaris rentung selepas bilik tidurnya terbakar dipercayai akibat puntung rokok di FELDA Palong 11, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.54 petang itu, difahamkan lelaki berusia 29 tahun itu tidur di rumahnya tanpa menyedari bilik tidur terbakar.

Menurut saksi kejadian, Mohd Zali Mohd Yusof, 54, kebakaran itu disedari jiran selepas melihat asap tebal memenuhi rumah mangsa.

Katanya, jirannya bergegas memberitahu kejadian itu berikutan ibu mangsa berada di rumahnya.

“Kami bergegas ke rumah terletak 20 meter dan memecahkan pintu utama bagi menyelamatkan mangsa,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Mohd Zali berkata, ketika itu api belum marak, namun asap tebal terkepung di dalam bilik serta ruang dapur rumah berkenaan menyebabkan mangsa ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan lemah dipercayai sesak nafas.

“Kami mengangkat mangsa keluar sebelum kakitangan perubatan dari Klinik Kesihatan FELDA Palong 9 tiba dan memberi rawatan kepadanya.

“Lelaki itu dihantar ke klinik berkenaan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, beberapa penduduk turut membantu memadamkan kebakaran menggunakan air paip dan alat pemadam api sebelum api dikawal sepenuhnya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol yang tiba jam 6.23 petang.

Disiarkan pada: April 22, 2015 @ 11:03am
d