mutakhir

Ibu tabah jaga tiga anak pembawa

Butterworth: Di sebalik ujian tiga daripada lima anaknya termasuk pasangan kembar disahkan menghidap talasemia, Siti Salmiah Dahaman, 39, tetap tabah dan berharap tiga beradik berkenaan mampu menjalani kehidupan normal seperti insan lain walaupun kesan penyakit itu boleh menyebabkan gangguan kesihatan serius.

Menurutnya, dia hanya mengetahui tiga anaknya itu menghidap talasemia selepas kembar Suraya dan Suriani Abdul Rahman, 19, dan anak kelimanya Muhammad Badrul Amin, 10, menjalani ujian darah pada 2013.

Katanya, sebelum itu, Muhamad Barul Amin dirawat di wad akibat demam panas dan bengkak seluruh badan sebelum diarahkan menjalani ujian darah dan kemudian disahkan sebagai pembawa talasemia.

“Susulan ujian dijalani anak kelima itu, Suraya dan Suriani serta dua lagi anak turut diarahkan menjalani ujian darah dan menyedihkan apabila pasangan kembar itu juga disahkan pembawa talasemia.

“Ketika doktor memaklumkan keputusan ujian darah, fikiran saya berserabut dan membayangkan tiga beradik berkenaan akan mengalami kesihatan serius,” katanya.

Menurutnya, jangkaan anaknya akan mengalami gangguan kesihatan menjadi kenyataan apabila pasangan kembar berkenaan sering demam dan Suraya kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat sakit sejak tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, Muhamad Badrul Amin bernasib baik kerana tidak kerap mengalami gangguan kesihatan serius dan kali terakhir mengalami demam panas dua tahun lalu.

Kerana mahu melihat tiga beradik berkenaan hidup normal, Siti Salmiah turut mencari alternatif lain termasuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam selain bergantung kepada ubat dibekalkan hospital.

Katanya, hasil siasatan perubatan dilakukan doktor mengesahkan penyakit keturunan itu berpunca daripada suaminya manakala dia yang turut menjalani ujian darah disahkan bebas daripada penyakit itu.

Disiarkan pada: April 22, 2015 @ 11:09am
d