mutakhir

2,000 bertarung larian lasak

Putrajaya: Seramai 2,000 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai program larian lasak ‘Putrajaya Deuter Trail Run 2015’ di Taman Cabaran Putrajaya, Presint 5 di sini pada 5 Mei ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan berkata, larian lasak yang menggunakan kawasan berbukit dan hutan sebagai laluan utama itu mendapat sambutan positif dalam kalangan penggemar sukan.

Beliau berkata, ini disebabkan selepas tiga hari penyertaan dibuka dua minggu lalu, pihaknya menerima 1,800 peserta.

“Pemilihan Taman Cabaran Putrajaya sebagai lokasi pertandingan dilihat bertepatan kerana memiliki persekitaran alam semula jadi yang terpelihara, selain laluan yang mencabar tetapi selamat untuk sebarang penganjuran acara.

“Laluan Putrajaya Deuter Trail Run 2015 akan menggunakan sepenuhnya laluan hutan dan denai yang tersedia bagi aktiviti berbasikal di taman berkenaan dengan jarak yang digunakan dalam pertandingan ini adalah 12 kilometer (km) mengikut setiap kategori,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Logo Putrajaya Deuter Trail Run 2015 di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan.

Program membabitkan kerjasama antara Cyclic Sport, Kementerian Belia Sukan (KBS), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan UFL itu kali ketiga dianjurkan.

Seramai 1,700 peserta menyertai program itu pada 2013 dan 1,800 peserta pada tahun lalu.

Saravanan berkata, walaupun jarak laluan tidak begitu jauh berbanding larian maraton, namun bentuk muka bumi dan cabaran yang ditempuhi setiap peserta menjadikan aktviti lasak berkenaan lebih menarik.

Disiarkan pada: April 23, 2015 @ 8:12am
d