mutakhir

Kurang didikan

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Gaya hidup bebas serta kurang pendedahan terhadap pendidikan seks dikenal pasti antara punca utama mendorong peningkatan statistik kes HIV dan AIDS di kalangan belia termasuk remaja sekolah.

Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC) Hisham Hussein berkata, hasil kajian MAC mendapati kebanyakan golongan muda ini mudah dikuasai nafsu menyebabkan virus maut itu merebak melalui transmisi seksual.

Menurutnya, keinginan untuk mencuba seks termasuk perbuatan seks luar tabii meningkatkan lagi risiko mereka dihidapi HIV atau AIDS.

“Walau bagaimanapun virus ini boleh mengancam mana-mana individu yang pernah melakukan hubungan seks tanpa menggunakan alat perlindungan seks (kondom),” katanya kepada wartawan.

Tambahnya lagi, nilai kesedaran berhubung pendidikan seks jelas amat cetek terutama dalam kalangan pelajar sekolah.

“Segelintir masyarakat berpendapat mereka tidak perlu mengetahui mengenai pendidikan seks kerana berasa virus itu tidak mungkin dijangkiti.

“Manakala ada yang takut untuk mengetahui maklumat berhubung virus itu kerana khuatir akan dijangkiti virus berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, MAC menekankan pendekatan dengan mengadakan kempen di universiti, sekolah serta di tempat awam.

“Di pusat MAC, kami menyediakan khidmat kaunseling dan pemberian kondom percuma untuk mencegah perkara itu terjadi.

“Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut bersama MAC untuk menangani masalah ini dengan menyediakan bantuan perubatan kepada pesakit HIV dan AIDS secara percuma bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Hisham menasihati orang ramai yang inginkan perkhidmatan kaunseling percuma supaya menghubungi talian hotline MAC 03-40445455 atau 03-40513611.

Disiarkan pada: April 23, 2015 @ 9:06am
d