mutakhir

Cium tak henti-henti

Oleh Nur Syazwana Mansor

Yan: Tingkah laku manja bayi lelaki berusia 18 bulan termasuk turut bersalam dan mencium pipi adik-beradik lain menjadi kenangan paling sukar dilupakan buat ibunya apabila mangsa pergi buat selama-lama selepas ditemui lemas dalam Sungai Teroi berhampiran pintu air Jalan Sedaka Tengah di sini, semalam.

Sebelum itu, mangsa Muhammad Adam Mikhail Shukri dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan terletak 10 meter di depan rumahnya di Kampung Teroi, Padang, Guar Chempedak di sini, jam 3.30 petang.

Ibu mangsa Rohani Hamid, 44, berkata, sebelum kejadian, dia menyedari perubahan sikap anak bongsu daripada enam beradik yang tiba-tiba bertukar menjadi manja, selain tidak henti-henti mencium tangan dan pipinya.

Menurutnya, dia bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap hanya perubahan biasa bagi kanak-kanak membesar.

“Sebelum kejadian, saya lihat arwah begitu manja dengan saya dan saudaranya yang lain berbeza daripada kebiasaan apabila dilihat agak dingin dengan adik-beradiknya,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan.

Katanya, ketika kejadian dia mencuci kain di bilik air manakala Muhammad Adam bermain di ruang tamu ditemani abangnya, Muhammad Tarmizi, 12, manakala kakaknya, Nur Syazwani, 15, pula bersiap dalam bilik untuk ke acara sukan di sekolah.

Menurutnya, dia meminta Muhammad Tarmizi menyidai pakaian di ampaian luar rumah, namun anaknya terlupa menutup pintu semula menyebabkan arwah berlari keluar.

“Kami tidak tahu bagaimana arwah boleh terjatuh dalam sungai kerana sebaik tersedar, dia (Muhammad Adam) tiada dalam rumah lalu kami segera keluar mencarinya di sekitar kawasan rumah, tetapi gagal.

“Saya yang tidak sedap hati berlari ke sungai sebelum ternampak kesan tapak kaki di tepi sungai menyebabkan suami (Shukri Ishak, 50) segera terjun untuk mencarinya, tetapi gagal menemuinya,” katanya.

Katanya, mereka meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari arwah sebelum menghubungi pihak berkuasa mendapatkan bantuan.

“Saya dan ahli keluarga lain tidak menduga kejadian ini berlaku dan sukar menerima hakikat anak bongsu kini sudah tiada, tetapi reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan Mohd Firdaus Bukhari ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.42 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui jam 5.35 petang di pintu air berdekatan Jalan Sedaka Tengah, satu kilometer dari tempat mangsa terjatuh sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Yan bagi dibedah siasat.

Disiarkan pada: April 23, 2015 @ 10:05am
d