mutakhir

Mati bertelefon

Oleh Nor Raidah Awang

Selama: Seorang remaja perempuan maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bercakap menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Padang Bola, Kubu Gajah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Fatin Nabila Syakira Mohd Kamis, 17, dikatakan bercakap menggunakan telefon ketika hujan lebat dan kilat.

Menurut sumber, keluarga mangsa terdengar jeritan secara tiba-tiba dari bilik mangsa menyebabkan ahli keluarga pergi memeriksa dan menemui mangsa terbaring dengan telinga kanannya berlaku pendarahan.

“Keluarga mangsa segera mendapatkan bantuan jiran lalu membawanya ke Hospital Selama, tetapi disahkan meninggal dunia,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Selama Asisten Superintendan Abd Ghani Zainun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik voltan tinggi.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2015 @ 10:09am
d