mutakhir

Maut gagal elak lori tayar tercabut

Bangi: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggang gagal mengelak dan merempuh sebuah lori membawa muatan telur di Kilometer 295.6, Lebuhraya Utara Selatan, di sini.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, mangsa, Tengku Farizul Azeem Tengku Badlishah, 22, berasal dari Bahau, Negeri Sembilan, dikatakan dalam perjalanan menghala ke ibu kota.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejadian berlaku apabila tayar kiri lori itu tercabut menyebabkan pemandunya hilang kawalan.

“Akibat ketiadaan tayar sebelah kiri itu, pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas sebelum terbalik di atas laluan kiri lebuh raya berkenaan.

“Mangsa yang berada di belakang lori gagal mengelak lalu bertembung menyebabkan motosikalnya terseret sejauh 20 meter,” katanya.

Beliau berkata, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan, seorang wanita berusia 50-an terpaksa menahan kesakitan apabila kaki kirinya hampir hancur selepas dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Bandar Teknologi Kajang, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, mangsa bersama seorang lagi rakannya berusia 49 dirempuh lori ketika melintas jalan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bangi Jailani Wahdani berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.20 tengah hari.

“Sebuah jentera bersama enam anggota terbabit dalam operasi menyelamat mangsa.

“Dua van Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) turut dikejarkan ke lokasi bagi membawa mangsa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan lanjut,”katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2015 @ 10:19am
d