mutakhir

Harian Metro raih anugerah berita online

Kuala Lumpur: Akhbar Harian Metro memenangi anugerah Media Sosial Cemerlang kategori Berita Online Bahasa Melayu pada majlis Anugerah Media Sosial dan Blogger Sedunia 2015 di sini, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin kepada Pengarang New Media Harian Metro Munir An’am Zuljadan.

Pengiktirafan berkenaan sempena penganjuran Minggu Sosial Media Malaysia 2015.

Menurut Munir, kemenangan berkenaan hasil kerjasama erat antara wartawan dan unit New Media dalam menyalurkan maklumat cepat kepada orang ramai.

“Kejayaan ini tidak bermakna tanpa sokongan serta kerjasama pembaca online dan pengguna media sosial yang banyak menyumbang kepada penyaluran berita,” katanya.

Sembilan kategori dipertandingkan kepada umum iaitu blog berita terbaik, blog makanan terbaik, blog gajet dan teknologi terbaik, blog hiburan dan gosip terbaik, blog gaya hidup terbaik, blog fotografi terbaik, blog beli belah terbaik, blog sukan terbaik dan blog melancong terbaik berdasarkan undian orang ramai.

Selain itu, 25 anugerah lagi turut dipertandingkan untuk kategori korporat dan pemenang dipilih khas oleh panel juri berdasarkan pembabitan aktif di media sosial.

Bagi Anugerah Media Sosial Cemerlang kategori Perbankan pula dimenangi Maybank manakala Tune Talk Sdn Bhd mengungguli dua kategori iaitu kempen Sosial Media dan Telekomunikasi.

Disiarkan pada: April 23, 2015 @ 10:48am
d