mutakhir

'Saya tak kisah bersengkang mata'

Bukit Mertajam: Tidak kisah bersengkang mata bersama jentera Barisan Nasional (BN) untuk mendekati pengundi sehingga hari pengundian, itulah kesungguhan calon BN Suhaimi Sabudin, 44, dalam usaha memastikan misi merampas semula kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Mei depan, tercapai.

Suhaimi kelihatan masih terkejut selepas hanya dimaklumkan mengenai pencalonannya, pagi semalam, sebelum pengumuman rasmi dilakukan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Operasi BN di pekarangan pusat beli-belah Perda City Mall, di sini, pada sebelah petang.

Sebagai anak tempatan Permatang Pauh dan faham dengan kehendak serta sentimen masyarakatnya, beliau akan turun ke seluruh pelusuk Parlimen itu untuk mendekati pengundi sebagai salah satu pendekatan kempennya.

“Apa yang amat saya harapkan ialah kempen nanti tidak akan dikotori dengan serangan terhadap mana-mana calon atau individu serta berlangsung secara bersih.

“Berkempen mengikut demokrasi kerana semua pihak perlu hormat-menghormati antara parti yang bertanding dan mahukan suasana kempen yang harmoni,” katanya.

Suhaimi berkata, sebagai orang yang berpengalaman dalam politik, beliau bersedia menerima sebarang serangan peribadi terhadap dirinya dan provokasi seperti itu tidak akan melemahkan semangatnya.

Selain itu, katanya, beliau yakin BN mampu menang dan merampas semula kerusi Permatang Pauh berbekalkan kekuatan jentera BN yang akan membantunya berkempen.

“Sekiranya menang, saya akan berkhidmat kepada rakyat Permatang Pauh tanpa mengira latar belakang, parti politik serta sentimen kerana ia sudah menjadi tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Saya sedia menerima serangan peribadi yang mungkin digunakan pembangkang atau mana-mana pihak dan akan menhadapinya dengan tenang dan menguatkan semangat jentera parti,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2015 @ 9:33am
d