mutakhir

Besi 'penyambung' nyawa

Oleh Wan Azrin Syahirah Mior Zulkifli dan Syamimi Jamil

Kulim: Hidup dengan besi titanium sepanjang 45 sentimeter dalam badan dengan 32 skru yang dilekatkan pada tulang belakang memang tidak menyelesakan bagi Suraiya Omar.

Namun, bagi wanita berusia 48 tahun yang layak digelar ‘Iron Lady’ itu, logam berkenaan umpama penyambung hidupnya selepas dia hampir berputus asa berikutan tulang pinggulnya menjadi reput kesan sel kanser payudara yang menyerang bahagian itu.

Akibat sel kanser, payudara kirinya dibuang untuk mengelakkan merebak ke bahagian lain dan Suraiya kini hidup dengan hanya satu buah pinggang apabila organ sebelah kanan yang terjejas akibat ketumbuhan itu terpaksa dibuang.

Gelaran ‘Iron Lady’ bukan sahaja menggambarkan semangat serta kesungguhannya melawan kanser, sebaliknya kegigihan Suraiya sebagai ibu yang membesarkan tiga anak perempuan hingga melanjutkan pengajian ke universiti walaupun ketika itu tahap kesihatannya mula merosot dan terjejas teruk akibat serangan kanser.

Pada masa sama, dia turut melawan segala kepayahan untuk bergelar usahawan dengan mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku di Taman Sang Kancil di Lunas, di sini.

Sebelum ini, dunianya gelap apabila doktor mengesahkan dia menghidap kanser payudara tahap tiga pada 2004 dan dugaannya bertimpa-timpa apabila pemeriksaan kesihatan mengesan ketumbuhan pada buah pinggang manakala tulang pinggulnya didapati mula merapuh akibat serangan sel kanser.

Bagi menyelamatkan nyawanya, doktor membuang sebahagian tulang berkenaan menyebabkan Suraiya lumpuh dan terlantar hampir dua tahun selain mengikuti lebih 20 sesi kemoterapi untuk membunuh sel kanser.

“Doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara pada 2004 dan pada 2009, pembedahan dilakukan bagi membuang sebahagian tulang pinggul yang sudah mereput mengakibatkan saya tidak lagi berupaya untuk berdiri.

“Ketika itu saya berasa tidak berguna kerana semua urusan harian perlu dibantu anak dan suami. Bagaimanapun, sinar untuk meneruskan hidup mula menyala selepas doktor mencadangkan untuk memasang besi titanium bagi menyokong tulang belakang, sekali gus membolehkan saya berdiri semula.

“Saya perlu lalui lebih 10 pembedahan untuk memastikan logam berkenaan berada pada kedudukan selari dengan tulang belakang dan tidak memberikan kesan kepada organ lain,” katanya.

Suraiya membelanjakan lebih RM80,000 untuk membiayai kos pembelian logam itu serta pembedahan yang dilaluinya dan menjual aset seperti tanah dan barangan berharga kerana tidak mempunyai sumber kewangan lain.

Selain besi dan skru dalam badan, dia perlu bergantung kepada besi pendakap badan yang perlu dipakainya hampir 12 jam sehari untuk membolehkannya melakukan aktiviti seharian termasuk menguruskan kedai makanan sejuk bekunya.

Walaupun boleh berdiri, kepingan logam titanium dalam badannya itu menyebabkan pergerakannya terhad serta tidak lincah, malah dia perlu menggunakan tongkat untuk bergerak berikutan risau sekiranya terjatuh.

“Adakalanya saya berasa seperti robot kerana adanya kepingan besi dalam badan dan jika mahu menoleh ke kiri atau kanan, saya perlu menggerakkan keseluruhan tubuh dengan perlahan-lahan.

“Orang lain yang menyentuh belakang saya boleh merasa benjolan kerana kepingan besi itu dan saya tidak boleh berdiri atau duduk untuk tempoh lama kerana keseluruhan badan akan merasa sengal, malah doktor menasihatkan saya supaya lebih banyak berbaring. Sekiranya cuaca mendung atau hujan, kesannya akan menjadi-jadi dan keseluruhan badan mula berasa kebas seperti dibius,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2015 @ 9:39am
d