mutakhir

RM400,000 habis punah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Ampang: Seorang ahli perniagaan berusia 63 tahun kerugian RM400,000 selepas disamun sekumpulan lelaki disyaki warga Nigeria di restoran makanan segera di sebuah pusat beli-belah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa dilaporkan makan bersama isterinya di restoran makanan segera itu sebelum dihampiri seorang suspek.

Menurut sumber, lelaki warga Nigeria tidak dikenali tiba-tiba duduk di sebelah mangsa yang sedang makan.

“Suspek berusia lingkungan 30-an itu dilapor mengeluarkan pisau dan meletakkan di badan ahli perniagaan berkenaan.

“Warga Nigeria itu mengarahkan mangsa dan isteri tidak melawan dan mengekorinya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa dan isterinya itu dipaksa masuk ke kereta Toyota Vios berwarna putih.

“Kenderaan itu dipandu rakan suspek sebelum pasangan suami isteri itu dibawa meninggalkan kawasan pusat beli-belah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang bersenjatakan pisau itu merampas beg milik isteri mangsa yang mengandungi wang tunai RM400,000.

“Selepas memperoleh wang berkenaan, dua penjenayah itu memberhentikan kereta di Jalan Mamanda 13 sebelum melarikan diri.

“Kedua-dua suspek dilihat meninggalkan kawasan berkenaan dengan menaiki sebuah lagi kereta Toyota Vios dipandu rakan penjenayah lain,” katanya.

Katanya, pasangan suami isteri itu tidak cedera sebelum membuat laporan di Balai Polis Ampang.

Katanya, pemeriksaan cap jari dilakukan unit forensik polis terhadap kenderaan itu, malah kereta berkenaan juga dibawa ke Balai Polis Ampang untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: April 24, 2015 @ 9:46am
d