mutakhir

Pukau wanita dari seberang

Oleh Mohd Shukor Amin

Sungai Besar: Akibat termakan rayuan seorang wanita yang kononnya memerlukan seorang penjamin rakyat tempatan untuk menebus wang nombor ekor, seorang warga emas kerugian RM15,000 selepas dipukau wanita terbabit, 14 April lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa Mukadi Resad, 68, pergi ke sebuah bank di Sungai Besar, di sini, untuk mengeluarkan wang perbelanjaan harian sebelum dihampiri seorang wanita Indonesia berusia lingkungan 30-an.

Dia yang berasal dari Kampung Sungai Limau, di sini, berkata, wanita terbabit datang dalam keadaan muka runsing dan memintanya untuk menjadi penjamin supaya dapat mengeluarkan wang nombor ekor yang dimenangi dari sebuah kedai pertaruhan.

“Wanita terbabit datang dan merayu kepada saya supaya menjadi penjaminnya kerana mendakwa kedai berkenaan memerlukan salinan kad pengenalan rakyat tempatan sebagai penjamin jika mahu mendapat wang taruhan yang dimenanginya.

“Saya yang langsung tidak mengenali wanita terbabit cuba memberi pelbagai alasan kerana tidak sedap hati dengan kehadirannya.

“Wanita berkenaan bagaimanapun tidak berputus asa dan terus merayu supaya saya menjadi penjaminnya kerana dia memerlukan wang segera untuk kakak iparnya yang akan bersalin di Teluk Intan, Perak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seolah-olah dipukau dan ‘dikawal’ secara senyap oleh individu terbabit, mangsa tanpa membantah terus memarkir motosikalnya berhampiran bank itu lalu mengikut wanita terbabit bersama seorang lagi lelaki menaiki kereta.

Katanya, dalam keadaan seperti dikawal, mereka singgah di sebuah bank sebelum dia diminta mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM30,000.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya bersetuju mengeluarkan wang RM15,000 sebelum menyerahkan kepada individu terbabit.

“Sebaik keluar dari bank, kami bertiga masuk semula ke dalam kereta, namun mereka mengambil wang berkenaan daripada saya sebelum meminta saya membuat salinan kad pengenalan untuk menjadi penjamin bagi membolehkan wanita itu menebus wangnya di kedai nombor ekor.

“Tanpa membantah saya terus diturunkan di hadapan sebuah kedai dan keluar untuk membuat salinan kad pengenalan, namun ketika kembali ke tempat yang diturunkan, individu bersama kereta berkenaan sudah lesap sebelum tersedar saya sudah dipukau,” katanya.

Mukadi berkata, laporan dibuat di Balai Polis Sungai Besar, di sini, kira-kira jam 2 petang, hari yang sama untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa.

Disiarkan pada: April 24, 2015 @ 9:58am
d