mutakhir

'Dia kurang waras'

Oleh S Anand Kumar

Johor Bahru: “Saya fikir dia (Tan) ini tidak berapa waras pemikirannya,” kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, mengulas mengenai blogger kontroversi, Alvin Tan yang sengaja memuat naik video memaparkan dia ‘menyanyikan’ azan sambil bermain alat muzik keyboard, baru-baru ini.

Beliau berkata, MCA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penulis blog terbabit yang memuat naik video berdurasi 2.50 minit itu bertajuk ‘‘Muslim Call to Prayer - Azan (R&B cover).’

Dr Wee berkata, Tan tidak seharusnya berbuat demikian, sebaliknya sebagai rakyat Malaysia dia perlu menghormati antara satu sama lain dan memelihara keamanan yang wujud sejak sekian lama.

“Di Malaysia kita tidak (sepatutnya) melakukan perkara sedemikian atau mencetuskan sebarang isu kontroversi membabitkan mana-mana agama di negara ini.

“Kita hidup saling menghormati antara satu sama lain dan bertolak ansur serta tidak melakukan sesuatu perkara sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan mereka (kaum) yang lain,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sidang media selepas melancarkan Pameran Peralatan Bangunan dan Teknologi Pembinaan di sini, semalam.

Tindakan blogger kontroversi, Alvin Tan yang sengaja memuat naik video memaparkan dia ‘menyanyikan’ azan sambil bermain alat muzik keyboard dianggap biadab.

Video itu ’ yang dimuat naik kelmarin mendapat kecaman orang ramai termasuk individu bukan Islam.

Alvin dalam keadaan tidak memakai baju kelihatan terhibur melaungkan azan sambil bermain alat muzik itu.

Alvin yang memberi tindak balas di dalam komen di Facebook (FB) bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang penyesalan ataupun mengaku kesilapannya.

Blogger kontroversi itu sebelum ini pernah menghadapi tuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut di FB berhubung kandungan gambar serta komen yang mengandungi logo halal dan ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Di dalam status video yang dimuat naik, Alvin menulis “Sudahkah anda mendapat dos Allahuakbar anda hari ini! Ini ditujukan untuk Tuhan yang satu dan Maha Esa, Allah SWT, rahmat ke atas Nya!

Semalam, akhbar melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara.

Ia bagi membawa pulang penulis blog kontroversi, Alvin dari Amerika Syarikat (AS) untuk tindakan kerana melakukan pelbagai kontroversi menerusi media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM juga sudah menghantar surat kepada pengendali YouTube untuk menyekat akaun Tan.

Tan dilapor melarikan diri ke AS bagi mengelak ditahan pihak berkuasa Malaysia atas beberapa kesalahan, termasuk mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam serta institusi Raja menerusi laman Facebooknya.

Disiarkan pada: April 25, 2015 @ 5:09am
d