mutakhir

RM10 dapat 1,000 mata

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri merampas 379 keping kad tambah nilai untuk berjudi dalam talian di dua premis jualan produk telekomunikasi daerah Melaka Tengah, di sini, semalam.

Ops Dadu yang diketuai sendiri Pegawai Turus D7 Melaka Asisten Superintendan Azahar Abdul Rahim itu dilakukan hasil risikan selama hampir sebulan.

Azahar berkata, selepas mendapat aduan awam, anggotanya melakukan risikan dan mendapati sebuah kedai menjual alatan telekomunikasi di Plaza Sungai Udang dan Taman Desa Duyong, di sini, menjalankan aktiviti mencurigakan iaitu berkaitan judi dalam talian.

Pegawai Turus D7 Melaka, Asisten Superintendan Azahar Abdul Rahim berkata, beberapa kedai telekomunikasi dikesan menjual kad tambah nilai, malah ada yang berselindung di sebalik perniagaan telekomunikasi untuk menjalankan aktiviti perjudian.

“Tahi judi atau pelanggan kedai ini akan datang membeli kad tambah nilai perjudian dalam talian untuk digunakan dalam aplikasi yang dimuat turun ke telefon pintar masing-masing.

“Tahi judi hanya memerlukan telefon pintar dan talian Internet untuk berjudi,” katanya ketika ditemui di kedai telekomunikasi, di Plaza Sungai Udang, di sini, semalam.

Azahar berkata, pemain judi dalam talian yang memenangi perjudian akan menerima bayaran yang dikreditkan ke akaun simpanan masing-masing.

“Kedai ini (di Plaza Sungai Udang) dikatakan menjual kad tambah nilai untuk aktiviti perjudian dalam talian iaitu pelanggan akan membeli kad pada nilai tertentu yang mempunyai nombor siri untuk digunakan sebagai nilai perjudian.

“Mereka hanya memerlukan telefon pintar yang mempunyai akses Internet dan boleh dimainkan di mana-mana saja,” katanya.

Menurut beliau, pemenang akan mendapat habuan yang terus dimasukkan ke akaun bank masing-masing yang sudah ditetapkan sebelum mendaftar.

Katanya, bagi kad tambah nilai RM10, seorang pemain judi dalam talian secara automatik mendapat 1,000 mata untuk dimainkan, malah setiap pemain hanya memerlukan 100 mata untuk layak berjudi.

Azahar berkata, di premis terbabit, pihaknya merampas 202 keping kad tambah nilai berharga RM10, RM20 dan RM50.

“Kita mengesyaki kedai ini menjadi pusat aktiviti perjudian dalam talian kerana mereka juga menawarkan khidmat tutorial kepada sesiapa yang baru berjinak-jinak dengan judi ini.

“Penjaga kedai akan membantu pelanggannya memuat turun aplikasi ‘SKY3888’ yang menjadi hos perjudian,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2015 @ 5:26am
d