mutakhir

Hidupkan semula 'Semangat Bandung'

Prinsip dan semangat Deklarasi Bandung yang dicetuskan ketika Persidangan Asia Afrika (ACC) 60 tahun lalu masih signifikan dan relevan dalam menangani pelbagai isu pada hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap ‘Semangat Bandung’ yang tercetus ketika ACC diasaskan pada 1955 dihidupkan semula dengan mencakupi pelbagai dimensi baru bersesuaian dengan cabaran masa kini.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam persidangan itu sangat signifikan terutama dengan memanfaatkannya dalam konteks ekonomi, perdagangan dan pelaburan dalam kalangan Negara Selatan.

“Selain itu, kerjasama juga perlu mencakupi dimensi baru yang mungkin 60 tahun dulu tidak berbangkit, tetapi kini menjadi cabaran, umpamanya menangani ancaman fahaman ekstrem dan militan, perubahan cuaca, pengurusan bencana kerjasama bidang pendidikan serta pembangunan modal insan.

“Oleh itu saya berasakan ‘Semangat Bandung’ masih perlu kita tiupkan. Masih perlu untuk kita teruskan apa yang diasaskan 60 tahun dulu di Bandung,” katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Hussein Sastranegara di sini, sebelum berlepas pulang ke Malaysia.

Perdana Menteri berada di sini untuk lawatan kerja dua hari dan menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 ACC yang berakhir, semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata, beliau berbangga kerana ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin disokong serta dikongsi bersama 91 negara yang menyertai ACC.

“Ada satu perkara yang belum tercapai daripada cetusan 60 tahun dulu iaitu untuk menentang penjajahan. Kini, semua negara sudah merdeka kecuali rakyat Palestin.

“Jadi, ini perlu kita teruskan. Pendirian Malaysia dalam hal ini amat tegas dan saya amat berbangga apabila semua pemimpin yang berucap (di majlis ulang tahun ke-60 ACC) memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Sebelum itu, acara memperingati ulang tahun ke-60 ACC bermula dengan ‘Jalanan Bersejarah’ semua pemimpin 91 negara peserta dengan Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor antara yang berada di barisan hadapan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden China Xi Jinping.

Disiarkan pada: April 25, 2015 @ 5:31am
d