mutakhir

Panggilan 2.14 pagi

Oleh Mohd Hasbi Sidek dan Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Seorang wanita sempat menghubungi ibunya memaklumkan rumah mereka di Kampung Teluk, Rhu, di sini sedang terbakar dan meminta tolong apabila dia serta anak dan bapanya terperangkap sebelum ditemui rentung.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, ketiga-tiga mangsa, Goh Sim Yen, 34, anak bongsunya Tan Jia Wai, 7, dan bapanya, Goh Meng Huat, 70, ditemui dalam dua bilik tidur berasingan.

Ibu mangsa Cheong Chai Fong, 54, berkata, anak sulungnya itu sempat menghubunginya dalam keadaan cemas memaklumkan rumah mereka sedang dijilat api.

“Ketika kejadian saya berada di kedai santan milik keluarga di Sungai Besar sebelum dia (mangsa) menghubungi saya jam 2.14 pagi. Suaranya sangat cemas, malah dia bercakap sambil menangis.

“Kedengaran juga suara cucu meminta tolong sambil menangis kerana mereka tidak boleh keluar akibat api sudah marak. Namun tiba-tiba talian terputus sebelum saya cuba menghubungi mereka semula, tetapi gagal,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Jemaah di sini, semalam.

Menurutnya, tidak sedap hati sesuatu yang tidak diingini berlaku, dia bergegas pulang ke rumah dan tiba kira-kira jam 2.30 pagi sebelum mendapati rumah mereka hampir hangus keseluruhannya.

“Sukar untuk saya gambarkan keadaan mereka ketika meminta pertolongan. Anak saya bersama cucu berada di bilik sama manakala suami yang mengalami masalah penglihatan sejak lima tahun lalu berada di sebuah bilik berasingan,” katanya.

Sementara itu, Tan Wan Xin, 15, anak sulung Goh Sim Yen berkata, kali terakhir dia menemui ibunya Selasa lalu ketika ibunya itu menghantarnya ke asrama di Sekolah Menengah San Min (Huwa), Teluk Intan, Perak.

“Tidak seperti biasa, ibu beria-ia mahu menghantar saya pulang ke asrama sedangkan sebelum ini saya dan adik (Tan Ka Hao, 13) menaiki bas apabila pulang ke rumah atau asrama.

“Ibu sempat berpesan kepada saya supaya menjaga diri dan adik serta belajar bersungguh-sungguh. Saya tidak sangka ibu meninggalkan kami dalam sekelip mata,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kematian tiga sekeluarga itu dalam kejadian kebakaran terbabit.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira jam 2.15 pagi dan menghantar anggota ke tempat kejadian untuk membantu mengawal keadaan dan membuat siasatan.

Menurutnya, seorang pekerja warga Bangladesh yang tinggal di rumah berasingan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun pekerja warga Bangladesh itu terpaksa dihantar ke hospital selepas tidak sedarkan diri di tempat kejadian dipercayai terkejut dan terlalu panik,” katanya.

Nor Azmi berkata, punca kematian dan kebakaran masih disiasat dan semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: April 25, 2015 @ 5:35am
d