mutakhir

Jangan lengah lagi

Oleh Hairulazim Mahmud

Bukit Mertajam: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan agensi penguatkuasaan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) segera bertindak berikutan banyak aduan yang diterima sejak cukai baru itu dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, beliau sudah bercakap dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek supaya jangan lagi berlengah-lengah mengambil tindakan perundangan selain menyegerakan penguatkuasaan.

“Kalau lama sangat orang tak lihat mereka yang langgar undang-undang dikenakan hukuman yang setimpal,” kata beliau pada sidang media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara di sini, semalam.

Beliau mengulas berkaitan isu GST yang akan dijadikan bahan kempen parti pembangkang menjelang hari pengundian pada 7 Mei nanti.

Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), GST adalah cukai yang bertujuan meningkatkan pendapatan negara.

Beliau mengakui, pada awal pelaksanaan memang wujud masalah bagaimanapun ia dapat diselesaikan secara berperingkat.

Pelaksanaan GST, kata beliau, adalah tindakan berani kerajaan mewujudkan struktur percukaian baru yang amat berkesan.

“Masalah awal ini sudah dijangka sehingga timbul rasa tak tidak puas hati, tak senang hati. Dalam kempen pilihan raya, rasa tak puas hati ia memang membimbangkan kita.

“Tapi kita perlu hadapi, kita tidak boleh berundur. Ini satu keputusan jangka panjang yang akan bawa faedah kepada negara dan rakyat dengan bentuk percukaian baru. Masuk dalam dana kerajaan untuk beri manfaat kepada rakyat,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, tanggungjawab jentera penerangan BN dan jabatan terbabit mesti memberi penjelasan kepada rakyat.

“Walaupun tak puas hati, setidak-tidaknya mereka faham apabila membayar GST dan usaha dilakukan supaya pelaksanaannya tidak membebankan dalam jangka masa panjang. Hal-hal sebegini perlu dijelaskan,” kata beliau.

Selain itu, kata beliau, masalah pelaksanaan cukai itu disebabkan kekeliruan kerana ia dilaksanakan hanya di Malaysia membabitkan tiga kategori.

“Yang kita buat ada pengecualian, ada berkadar sifar dan tak dikenakan GST. Tiada negara di dunia yang buat GST macam Malaysia buat kerana di lebih 160 negara yang laksanakannya, tiada pengecualian tapi semua dikenakan cukai itu dan itulah kelebihan kita,” kata beliau.

Beliau berkongsi maklumat bahawa ada aduan berkaitan pihak yang tidak bertanggungjawab mengenakan kadar cukai yang tidak sepatutnya.

“Ini tak betul, rakyat patut bayar kurang tetapi kena bayar lebih,” kata beliau lagi.

Disiarkan pada: April 26, 2015 @ 5:09am
d