mutakhir

'Pengalaman berharga'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Sejak kecil saya sudah menaruh impian untuk menjejakkan kaki di Madinah dan mendalami al-Quran. Alhamdulillah, impian itu sudah menjadi kenyataan.”

Demikian luahan Fakhrurrozi Fauzi, 21, pelajar Madrasah Tahfiz al-Quran Darul Riyadh, Rantau Panjang, Kelantan yang berpeluang mengikuti program Talaqqi al-Quran di Madinah dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz (TAHFIZ) dengan kerjasama Tabung Haji dan syarikat korporat lain, baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang pelajar yang mengikuti program berkenaan selama sebulan dan tempoh itu digunakan sebaik-baiknya untuk mendalami ilmu al-Quran.

“Siapa tidak ingin mendalami al-Quran di Madinah. Menuntut ilmu dan bertalaqqi dengan guru di Madinah yang sanadnya tidak putus daripada Rasulullah. Ini semua pengalaman berharga buat saya.

“Sepanjang berada di Madinah, pelbagai pengalaman dan ilmu diperoleh termasuk memperbaiki cara sebutan serta makhraj huruf yang tepat di samping mempelajari ilmu lain berkaitan al-Quran,” katanya selepas menerima sijil penyertaan program itu, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Dewan Negara Datuk Zamani Sulaiman.

Fakhrurrozi turut melahirkan rasa syukur terhadap pelbagai pihak termasuk TAHFIZ dan juga beberapa agensi lain yang merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pelajaran di Madinah bersama beberapa pelajar lain.

“Saya akan meneruskan usaha untuk mendalami al-Quran dan turut berhasrat untuk membuka pusat tahfiz sendiri, sekali gus menyambung sanad yang diperoleh daripada gurunya di Madinah,” katanya yang turut disertai lebih 20 pelajar tahfiz seluruh negara ketika di Madinah.

Sementara itu, Presiden TAHFIZ Datuk Mustapa Othman berkata, melalui program talaqqi itu, pelajar diperbetulkan sebutan, makhraj huruf yang tepat dan bacaan guru masing-masing sehingga mereka memperoleh sanad atau ijazah.

Menurutnya, pihaknya turut berhasrat untuk melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran, sekali gus menghindarkan golongan remaja masa kini terjebak dengan masalah sosial semasa.

“Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan program pertukaran pelajar dengan pusat tahfiz di luar negara antaranya Indonesia serta beberapa negara lain.

“Pendekatan pertukaran pelajar itu diharap dapat memberi pendedahan kepada pelajar kita supaya sentiasa bersedia untuk berdepan dengan masyarakat termasuk meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2015 @ 5:11am
d