mutakhir

Platform masyarakat Cina

Rompin: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin sewajarnya menjadi platform bagi masyarakat Cina di daerah ini menilai kerjasama antara pakatan pembangkang khususnya hubungan antara DAP dan PAS.

Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, masyarakat Cina sebelum ini mungkin terpengaruh dengan slogan ‘Ini Kalilah’ dan ‘Jom Ubah’ yang dilaungkan pembangkang ketika berkempen sehingga membolehkan pakatan itu memperoleh kerusi agak besar di Parlimen.

“Mereka kini juga ingin menolak segala dakyah dan apa yang dijanjikan pakatan pembangkang.

“Ini sebagai satu protes kerana dulu mungkin mereka terpengaruh dengan dakwaan serta janji pembangkang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan komuniti Cina di Kuala Rompin, di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, masyarakat Cina juga diminta membuat keputusan bijak pada PRK ini kerana selain menampilkan calon sesuai dan berpengalaman dalam politik, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mengamalkan kesederhanaan serta kepelbagaian.

Menurutnya, walaupun pengundi Cina pada PRK Parlimen Rompin hanya seramai 1,352, undi daripada mereka tetap penting bagi membantu BN memenangi PRK kali ini.

Disiarkan pada: April 26, 2015 @ 5:19am
d