mutakhir

Tiga butir peluru dalam beg

Georgetown: Kecanggihan mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, berjaya mengesan tiga butir peluru yang dipercayai masih aktif di dalam beg milik seorang penumpang lelaki warga negara Indonesia.

Dalam kejadian jam 11.03 pagi kelmarin, penumpang berkenaan yang sudah mendaftar masuk itu terus menuju ke balai berlepas dan dia dijangka menaiki pesawat melalui pintu B1.

Bagaimanapun, ketika dia melalui pemeriksaan keselamatan, anggota polis bertugas mengesan objek mencurigakan dalam beg miliknya sebelum menahan warga Indonesia itu untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, pemeriksaan dilakukan secara teliti dalam beg itu kemudian membawa kepada penemuan tiga butir peluru.

Beliau berkata, maklumat awal yang diperoleh lelaki itu berasal dari Medan, Indonesia dan dia kemudian ditahan manakala peluru berkenaan dirampas untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: April 26, 2015 @ 5:21am
d