mutakhir

Gempur mat motor awal pagi

Oleh Mohd Hasbi Sidek dan Syahril Azam Sulaiman

Shah Alam: Seorang gadis berusia 18 tahun sanggup datang dari Cheras ke bandar raya ini dengan menunggang motosikal tanpa lesen memandu semata-mata mahu menemui rakan lelakinya, semalam.

Remaja berkenaan dikatakan turut membonceng seorang rakan perempuannya yang juga tidak mempunyai lesen dan meluangkan masa melepak di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, sehingga jam 1 pagi.

Bagaimanapun, kunjungannya itu mengundang padah apabila mereka ditahan dalam operasi yang diadakan polis cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Ketika ditahan dalam Ops Samseng Jalanan itu, gadis berkenaan dilihat dalam ketakutan kerana bimbang perkara itu diketahui ibu bapanya.

Selepas menunggu kira-kira sejam, ibunya tiba dari Cheras untuk mengambil anaknya itu berikutan motosikal ditunggangnya disita sebelum dibawa ke IPD Shah Alam, di sini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 1 pagi itu memberi tumpuan kepada ‘mat motor’ serta pemandu kereta yang melepak di dataran berkenaan pada hujung minggu sehingga lewat pagi.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, dalam ops berkenaan, pihaknya mengeluarkan 150 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 96 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dan selebihnya kepada pemandu kereta yang didapati bersalah atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, ubah suai kenderaan dan tiada cermin sisi.

“Dalam ops ini juga, kami menyita 60 motosikal dan lapan kereta. Jika dilihat daripada statistik saman yang dikeluarkan, keadaan ini membimbangkan,” katanya ketika ditemui dalam ops berkenaan, semalam.

Menurutnya, kebanyakan motosikal yang disita ditunggang oleh golongan remaja yang tidak mempunyai lesen memandu termasuk gadis berusia 18 tahun berkenaan.

“Tindakan mereka ini boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya termasuk membahayakan pengguna lain kerana tidak mempunyai pengetahuan undang-undang yang betul,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2015 @ 7:11am
d