mutakhir

Rakan maut di pangkuan

Pasir Mas: “Dia adalah rakan baik saya sejak sekolah rendah lagi. Walaupun hati pilu, tetapi lega kerana sempat mengajarnya mengucap (dua kalimah syahadah) dan arwah meninggal dunia dalam pangkuan saya,” kata Khairul Firdaus Hairuldin, 19.

Dia adalah rakan baik Khairul Ridhuan Pakri, 19, yang maut dalam kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Kampung Gertak Serong, Tendong, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 8 malam ketika Khairul Ridhuan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Wakaf Merah, di sini, selepas tamat waktu bekerja sebagai pelayan gerai makan di kampung itu.

Dia yang menunggang motosikal Yamaha 125Z hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta Proton Saga yang keluar mengejut dari stesen minyak berdekatan.

Khairul Firdaus berkata, ketika rempuhan itu, dia sedang makan bersama rakan lain di kedai makan tempat arwah bekerja dan sempat menyaksikan rakan baiknya melambung di bahu jalan.

“Saya tahu dia nak pulang ke rumah ketika itu, tapi tidak lama selepas itu saya dengar bunyi rempuhan kuat dan dia sudah melambung. Saya berlari mendekatinya dan terus meriba kepala arwah.

“Arwah masih bernafas lagi ketika itu dan saya mengajarkan dia mengucap dua kalimah syahadah. Selepas itu dia pergi dengan tenang,” katanya, sedih mengenang kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliluddin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Disiarkan pada: April 27, 2015 @ 8:12am
d