mutakhir

Gugur air mata dengar suara anak

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: “Menitis air mata mak cik menjawab panggilan telefon mereka petang semalam (kelmarin).

“Itu panggilan pertama selepas bertahun mereka tidak bertanya khabar,” kata Zaharah Sulong, 65, warga emas sebatang kara yang tinggal di Kampung Bertam Baru, di sini.

Kisahnya yang disiarkan Harian Metro, Sabtu lalu memaparkan Zaharah yang mendakwa tinggal bersendirian selepas hampir 17 tahun diabaikan tujuh anak iaitu enam perempuan dan seorang lelaki.

Dalam tempoh itu, anaknya tidak pulang menjenguk dan bertanya khabar, malah hati wanita itu tambah pilu apabila mereka juga tidak mengambil tahu keadaan dia ketika banjir besar Disember lalu.

Ketika ditemui semalam, Zaharah menceritakan perbualan telefon dengan tiga anaknya jam 5 petang.

“Tiga orang daripada mereka berbual dengan mak cik, bertanya khabar dan keadaan mak cik.

“Memanglah ada yang tidak berpuas hati kerana cerita itu dikeluarkan dalam akhbar, tapi mak cik ada hak untuk bersuara selepas apa yang mereka lakukan.

“Sekurang-kurangnya berita yang dikeluarkan Harian Metro membuatkan mereka menghubungi mak cik. Kalau tidak begitu, mungkin mereka tak ingat terus mereka ada ibu,” katanya.

Ditanya mengenai kepulangan anaknya, Zaharah yang kematian suami kira-kira 35 tahun lalu berkata, tiada yang berjanji untuk menjenguknya dan dia juga tidak mahu bertanyakan hal itu.

Katanya, dia sudah biasa tinggal seorang diri dan tidak mahu merunsingkan fikiran mengenai kepulangan anaknya.

“Mak cik terima kepulangan mereka. Jika tidak, mak cik tetap begini dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang anak angkat Zaharah yang juga jirannya Sarimah Hamzah, 30, sudah menganggap wanita itu seperti ibunya apatah lagi melihat wanita itu sebatang kara.

Katanya, dia juga sedar Zaharah tidak pernah dikunjungi anak mahupun saudara, malah wanita itu juga daripada golongan susah.

Disiarkan pada: April 27, 2015 @ 8:13am
d